Senarai Blog Saya

Khamis, 24 November 2011

Sajak Guruku....

Mari Mengenal Puisi

 MARI BERPUISI
            Kita pernah mendengar orang menggunakan puisi dalam percakapan dan penulisan. Bahasa yang mengandungi puisi dianggap indah kerana mempunyai nilai-nilai yang tersendiri. Puisi biasanya banyak digunakan dalam masyarakat Melayu lama yang semakin dilupakan oleh generasi sekarang. Namun begitu, atas kesedaran yang wujud tentang indahnya bahasa puisi, terdapat pihak-pihak tertentu telah cuba membuat pelbagai program untuk mengembalikan penggunaan puisi dalam masyarakat sekarang.
            Puisi terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya pantun, sajak, syair, gurindam dan seloka.

Mari Mengenal Pantun
            Pantun merupakan sejenis puisi berangkap yang mempunyai persamaan bunyi di hujung pembayang dan maksudnya. Bilangan baris dalam satu rangkap adalah genap iaitu dua, empat, enam, lapan , sepuluh dan seterusnya.

Ciri-ciri Pantun
Contoh : Pantun empat baris satu rangkap (Pantun 4 kerat)
-          Dua baris pertama - Pembayang
-          Dua baris kedua - Maksud
-          Rima akhir – abab/aaaa
-          Rima akhir baris pertama mestilah sama dengan rima akhir baris ketiga
-          Rima akhir baris kedua mestilah sama dengan rima akhir baris keempat
-          Bilangan suku kata – 8 hingga 12 suku kata dalam satu baris

Contoh Pantun Dua Kerat
Ada ubi ada batas,
     Ada hari boleh balas.

Contoh Pantun Empat Kerat
            Pulau Pandan jauh ke tengah,
                 Gunung Daik bercabang tiga,
            Hancur badan di kandung tanah,
                 Budi yang baik dikenang juga.

Mari Mengenal Sajak
            Merupakan karangan berangkap moden yang biasanya tidak mempunyai bentuk-bentuk tertentu.

Contoh Sajak

Tajuk: Bahasa bangsa
Bahasa Malaysia aku pelajari
Dengan kesungguhan dan keikhlasan hati
Menyusun kata membawa kalimat
Bicara murni aku tuturkan

Bahasa Malaysia nian indah
Penuh kelembutan
Penuh keunikan
Peribahasa dan pantun tinggalan warisan
Dengan amat bangga aku gunakan
                                                            (Buku Teks BM Tahun 6)


Mari Mengenal Syair
            Merupakan karangan yang bersajak yang terdiri daripada empat baris dan mempunyai rima akhir yang sama.

Contoh Syair

Tajuk: Puteri Koreena
Tersebutlah kisah seorang puteri,
Wajahnya cantik berseri-seri,
Puteri Koreena nama diberi,
Rajin belajar setiap hari.

Orangnya pintar bijak bestari,
Berbudi bahasa berhemah tinggi,
Pada yang tua sangat dihormati,
Ibu dan bapa selalu ditaati.
                                                             (Buku Teks BM Tahun 6)

Mari Mengenal Gurindam
            Merupakan salah satu puisi Melayu yang terdiri daripada dua baris yang berisi dengan pengajaran.

Contoh Gurindam

Tajuk: Gurindam Rajin Ke Sekolah
Jika kita rajin ke sekolah,
Tentu beroleh banyak faedah.

Jika ingin menjadi pandai,
Membaca buku jangan lalai.
                                                                 (Buku Teks BM Tahun 6)


Mari Mengenal Seloka
         
         Seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, samaada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama.
Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.
Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama adalah :-
  • Seloka Emak Si Rendang
  • Seloka Pak Kaduk
  • Seloka Pak Pandir
Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk